Tuesday, August 25, 2009

LAPORAN SEMINAR PIBG SEKOLAH-SEKOLAH DAERAH TIMUR LAUT



Seminar PIBG Sekolah-Sekolah Daerah Timur Laut telah diadakan pada 16 Ogos 2009, Ahad di Dewan Seminar SMK (L) Methodist dengan kehadiran kira-kira 85 orang peserta. Sokongan dan minat Yang DiPertua PIBG atau wakil PIBG dari sekolah-sekolah Daerah Timur Laut menunjukkan permulaan yang baik dalam usaha KPM melibatkan PIBG dalam memahami dan menangani masalah ponteng di kalangan pelajar sekolah pada hari ini. Perasmian penutup Seminar PIBG itu disempurnakan oleh Tn Hj. Osman Bin Hussain, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, JPN Pulau Pinang pada jam 1.15 petang. Dua penceramah dijemput menyampaikan ceramah mengikut kepakaran masing-masing iaitu ACP Azam Bin A. Hamid, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang dan Dr. Main Rindam, Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM. Oleh kerana warga sekolah tidak terlepas dengan kes Influenza A (H1N1), Pegawai En. Alexander Selvam, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut turut menyampaikan taklimat beliau sebelum majlis penutup seminar hari itu. Pejabat Pelajaran Daerah Timur Laut ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Majlis Guru Kaunseling Daerah Pulau dan Pengetua SMK(L) Methodist kerana memberi kerjasama yang baik bagi menjayakan seminar tersebut.


Tuesday, August 11, 2009

SEMINAR PIBG SEKOLAH-SEKOLAH DAERAH TIMUR LAUT

Jawatankuasa Anti Ponteng PPD Daerah Timur Laut dengan kerjasama Majlis Guru Kaunseling Daerah Pulau akan menganjurkan Seminar PIBG Sekolah-Sekolah Daerah Timur Laut pada 16 Ogos 2009 (Ahad) jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari bertempat di Dewan SMK (Lelaki) Methodist, Jalan Air Itam, Pulau Pinang. Semua Yang Dipertua PIBG sekolah-sekolah dalam Daerah Timur Laut adalah dijemput hadir. Majlis Perasmian Penutup akan disempurnakan oleh Tuan Hj. Osman Husain, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, JPN Pulau Pinang. Dua penceramah yang akan hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang dan Dr. Main Rindam dari USM, Pulau Pinang. Tujuan seminar tersebut adalah untuk meningkatkan peranan PIBG bersama pihak sekolah masing-masing menangani masalah ponteng sekolah di kalangan pelajar.