Saturday, November 28, 2009

SELAMAT BERTUKAR DAN SELAMAT MAJU JAYA!


Pada 18 November 2009, hari Rabu, Majlis Guru Kaunseling Daerah Pulau telah mengadakan Jamuan Khas untuk meraikan guru-guru Kaunseling yang akan bertukar serta melanjutkan pelajaran ke luar negara. Guru-guru yang dimaksudkan ialah En. Dzulkifli Rejab dari SMK Pondok Upeh dan isteri akan bertukar ke Perlis, Pn. Norhayati dari SMK St. George Balik Pulau ke Kedah dan En. Azhar Aziz dari SMK Penang Free akan melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom. Unit HEM, Pejabat Pelajaran Daerah Timur Laut ingin merakamkan jutaan terima kasih dan selamat bertugas di tempat yang baru. En. Azhar yang akan melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di UK, semoga kejayaan saudara menjadi contoh dan ikutan rakan-rakan guru yang lain.

Pucuk pauh delima batu,
Anak semilang ditapak tangan,
Walau jauh beribu batu,
Hilang di mata di hati jangan.

Sunday, November 8, 2009

Lawatan Pendidikan dan Kerjaya Pelajar Asrama ke KL dan Putrajaya



Pada 11 - 13 Oktober 2009, Unit HEM PPD Timur Laut telah menganjurkan Lawatan Pendidikan dan Kerjaya Pelajar Asrama ke Kuala Lumpur dan Putrajaya. Di antara tempat-tempat yang dilawati ialah Pameran Petrosains di KLCC, Pameran Malapetaka Bom Atom Hiroshima dan Nagasaki 1945 di Muzium Seni Asean Universiti Malaya, Pejabat Menteri Pelajaran Malaysia di Putrajaya dan Masjid Putrajaya.

Friday, October 30, 2009

SEMINAR MENANGANI GEJALA DISIPLIN MURID
















Unit HEM PPD Timur Laut telah mengadakan Seminar Menangani Gejala Disiplin Murid anjuran MAPAN pada 28/9/2009 di Dewan SK Wellesley untuk murid-murid beberapa sekolah rendah dan di Dewan SMK(P) St. George untuk pelajar sekolah menengah.
Beberapa tokoh jemputan telah menyampaikan ceramah mereka pada hari tersebut. Antara yang dijemput ialah wakil PDRM, En. Shamshul Azura (Ketua Unit Kaunseling Institut Perguruan Sultan Abdul Halim dan Ustadz Abdul Shukur dari SMK Teluk Kumbar. Semua peserta telah memberi kerjasama yang baik di sepanjang seminar itu berlangsung. Jamuan tengah hari telah disediakan kepada peserta selepas seminar itu berakhir.

Monday, October 26, 2009

KEMASKINI DATA EKASIH: TERIMA KASIH KEPADA PIHAK SEKOLAH

Bagi kali pertama Unit HEM, PPDTL telah menggunakan khidmat emel dalam proses penghantaran dan penerimaan data di antara PPD dengan sekolah. Khidmat emel didapati lebih cekap, mudah dan murah jika dibandingkan dengan penghantaran melalui disket/CD. Unit HEM PPD Timur Laut ingin merakamkan ribuan terima kasih kerana kebanyakan sekolah telah mengambil tindakan yang segera seperti dalam surat bertarikh 17 September 2009 [PPDTL/02/01/008 (22)]. Bagi sekolah-sekolah lain diharap akan dapat mengambil daya usaha meningkatkan penggunaan emel dan lain-lain kemudahan seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) masakini.

Sunday, October 18, 2009

Majlis Jamuan Ramah Mesra Aidilfitri PPD Timut Laut

Kelab Kebajikan Kakitangan PPD Timur Laut akan mengadakan Majlis Jamuan Ramah Mesra Aidilfitri esok 19 Oktober 2009 jam 12.00 tengahari di ruang legar PPD Timur Laut. Wakil-wakil PKPSM dan MGB, Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah berhampiran dijemput hadir. Turut dijemput hadir ke majlis tersebut ialah ketua-ketua atau wakil jabatan/agensi kerajaan kawasan Daerah Timur Laut seperti SPRM, IPD Daerah, Pejabat Kesihatan, TNB, Telekom, JKR dan lain-lain lagi. Dengan adanya majlis seumpama ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sedia ada. Disamping itu, dapat memantapkan lagi kerjasama antara agensi kerajaan terutama dalam usaha memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan masing-masing selaras dengan konsep "1 Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

Friday, October 16, 2009

Kenaikan Pangkat Pegawai HEM PPD Timur Laut

Pegawai HEM PPD Timur Laut, En. Abd. Rahim Hj. Ariffin telah dilantik sebagai Penyelia HEM di Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang yang berkuatkuasa pada 1 Oktober 2009. Pejabat Pelajaran Daerah Timur Laut merasakan suatu kehilangan yang besar kerana beliau merupakan seorang pegawai yang berpengalaman dan komited terhadap tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Walau bagaimanapun sekalung tahniah patut diberikan kepada beliau kerana perpindahan ke tempat kerja yang baru itu merupakan suatu anugerah kenaikan pangkat beliau daripada DGA32 kepada DGA34. Dengan berbekalkan pengalaman yang ada selama beliau di Unit HEM PPD Timur Laut, beliau diharap dapat meneruskan khidmat dengan lebih baik dan berkesan di tempat yang baru.

Thursday, September 17, 2009

PENGEMASKINIAN DATA SMM BAGI BANCIAN e-KASIH

Semua sekolah yang akan menerima data SMM dari Unit HEM, Pejabat Pelajaran Daerah Timur Laut bagi tujuan pendaftaran bancian eKasih dikehendaki mengemaskini data berkenaan seperti nama waris, no. kad pengenalan, alamat, jumlah pendapatan, pendapatan perkapita dan lain-lain. Maklumat yang ada mungkin tidak diisi, tidak lengkap dan tidak tepat. Sila muat turun Panduan Kemaskini Bancian Data e-Kasih.
Surat berkaitan dengan Pengemaskinian Data berkenaan telah dikeluarkan oleh Unit HEM, PPD Timur Laut ada 17 Sept. 2009. Unit HEM, PPD Timur Laut akan mengemelkan data tersebut kepada semua sekolah. Oleh itu pihak sekolah diminta memaklumkan alamat email masing-masing dengan menghantar maklumat berikut: alamat emel, nama sekolah dan nama penuh guru yang bertanggungjawab berkaitan dengan data di sekolah. Data yang sudah disemak dan dikemaskini hendaklah diemelkan semula ke Unit HEM, PPD Timur Laut selewat-lewatnya pada 8 Oktober 2009. Sekian.